Entry: Panjut Oct 12, 2006



Tiba-tiba pula bob terasa hendak berbuka dengan roti canai. Beli roti canai dipasar Ramadhan kemudian buat sambal tumis ikan bilis sendiri. Lebihkan sikit bawang besar supaya sambal tu nanti terasa manisnya.Apabila makan bersama roti canai sambal bilis ini akan dapat dikapit untuk masuk kemulut. Kuah sambal yang terperangkap pada bawang tadi akan membuak-buak keluar bila digigit dan di kunyah. Jangan lupa tadah tangan supaya jangan sampai meleleh kedagu..........bila dah makan, pastikan tangan dibasuh bersih ....takut nanti bila tangan tu menggesel mata....pedih pulak.

Dikampung bob masa dulu-dulu, kalau bob teringin hendak makan roti canai, ia hanya boleh didapati dikedai mamak dengan harga 25 sen sekeping. Kedai mamak itulah satu-satunya kedai kopi yang ada dikampung bob pada masa itu. Tetapi apa yang menariknya bagi bob ialah disitu terdapat sumber utama untuk membuat pelita minyak tanah atau ada yang memanggilnya sebagai "panjut". Membuat panjut adalah aktiviti tahunan yang tidak pernah bob tinggalkan. Tin-tin susu pekat yang berjenama seperti F & N, Cap Tehkoh, Cap Junjung boleh diperolehi dengan percuma seberapa banyak dari kedai itu. Disitu juga bob boleh memperolehi tutup botol air laminet atau air bergas yang bermacam-macam jenama. Apabila sampai dirumah, bob akan membersihkan tin-tin itu. Kemudian bob akan membuat lubang dengan menggunakan paku besar pada bahagian atas tin yang sudah siap dibuka oleh mamak tadi.

Beberapa biji tin itu pula akan dipotong-potong menjadi empat persegi sebesar 1"dengan gunting. Kemudiannya akan digulung menggunakan paku tadi yang menjadi sebagai acuan untuk dijadikan batang/salor sumbu. Tutup botol juga mesti ditebuk dengan menggunakan paku itu juga. Apabila sudah siap pasangkan batang sumbu tadi dengan mencucuknya tembus ketutup botol supaya melekat pada lubang diatas tin susu tadi. Sumbatkan tali guni sebagai sumbunya dan panjut pun siap. Minyak tanah atau dikenali juga sebagai minyak gas dijadikan bahan bakar nya.

Bob pula akan membuat panjut ini dalam jumlah yang besar kerena ada tempahan. Sebiji panjut yang bob buat akan dibayar dengan harga 15 sen. Pada ketika itu 5 sen pun kita rasa sudah besar. Jadi kalau seratus atau dua ratus biji panjut, tentulah bob akan menjadi kaya. Wang inilah bob buat belanja pada hariraya. Tetapi jari-jari bob akan menjadi pecah-pecah.Walaupun begitu ia tidak menjadi hal kira hati puas kerana boleh mencari duit raya sendiri. Tidak suka minta-minta dari mak. Lagi pun dulu pada zaman bob kecil-kecil dulu mana ada orang bagi duit raya, kueh raya adalah. Daripada bahan tu terbuang begitu sahaja lebih baik kita usahakan boleh juga mendatangkan pulangan. Yang pelik nya bob sorang sahaja yang dapat tempahan tempahan. Kekawan lain hanya membuat panjut untuk kegunaan mereka sendiri.

Bob juga membuat panjut untuk hiasan rumah bob sendiri. Pada malam awal-awal puasa lagi kami sudah memasang panjut ini dihalaman rumah. Ada juga kawan-kawan bob yang memasang panjut buluh dan ada juga yang membakar panjut tempurung. Panjut-panjut ini akan diletakan pada tiang-tiang yang dibuat khas atau pun disangkut pada tiang-tiang pagar disekeliling rumah dan disepanjang jalan. Lagi banyak lagi bagus. Bila dipandang dari jauh pada waktu malam ia akan kelihatan berkelip-kelip satu kampung. Kemudian diselang seli pula dengan dentuman meriam buluh dan mercun. Apabila kita pulang terawikh atau bangun sahur ianya kelihatan sungguh sungguh cantik dengan keadaan yang apinya menyala berkedip-kedip dan terliang liuk. Ianya akan kelihatan mengerlip-ngerlip bagaikan negeri kayangan yang dihiasi lampu-lampu indah. Ah....bau minyak tanah, aduh mak. Bob sebenarnya sangat rindu dengan suasana ini.

Jika sekarang ni pun kita pulang kekampung pada waktu-waktu begini agaknya memang susah hendak berjumpa suasana saperti ini lagi. Harus diingat bahawa cerita begini bukannya terdapat dibandar yang penuh ngan lampu neon.

Beberapa tahun dulu anak bob pernah mengeluh bila tiba hariraya dan bertanya " Apa perbezaan hari raya ngan hari biasa?" Bob faham kerena apabila dia dibesarkan dan hidup di Kuala Lumpur begini setiap hari sentiasa meriah dan setiap malam diterangi lampu, raya sepanjang waktu Jawapan bob, "Kita sendiri mesti melakukan aktiviti-aktiviti untuk memeriahkan nya, saperti membersih dan memperkemaskan rumah, memasang lampu, langsir baru dan lain-lain. Ketika itu baharulah kita akan dapat merasakan perbezaan nya". Kalau kita hanya tunggu dan lihat orang lain sahaja yang buat maka suasana itu tentu tidak akan dapat kita rasai nikmatnya.

Mungkin cerita ni terlalu kecil untuk diceritakan, tapi ia menjadi kenangan bagi bob setiap kali menyambut bulan puasa dan hari raya .....

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments