Entry: Meriam buluh Oct 10, 2006



Teringat pula bob hendak berbuka berbuka dengan goreng kuey teow kerang hari ini. Sesekali masak kuey teow ini dan dihidang terus dari kuali dan dimakan berebut-berebut dengan anak-anak sedap juga. Banyakkan taugeh, kucai yang dimasak jangan sampai layu. Manakala kerang, udang dan sotongnya nya hendaklah yang masih segar. Apabila hampir masak, dipecahkan pula telur dan digaul sekali. Kerang yang segar terasa pahit manisnya.

Apabila terpandang sahaja kepada kulit kerang dalam waktu-waktu begini teringat kepada meriam buluh. Kulit kerang ni digunakan untuk menutup lubang siut meriam sebelum di letupkan. Cerita pasal meriam buluh ini memang banyak membawa kenangan bob tatkala menyambut Ramadhan and hariraya. Dikampung-kampung, detuman yang bersahut-sahutan dari meriam buluh ini merupakan satu irama yang merdu dalam ingatan bob apabila tiba waktu begini. Tetapi sekarang ni apabila sudah jauh dibandar ianya tidak kedengaran lagi.

Bob masih teringat lagi apabila bob sudah menduduki darjah 6 barulah bob dan jenerasi bob mengambil alih operasi meriam buluh ini dikampung dari generasi abang-abang kami. Saperti orang sebelumnya, apabila sahaja hampir bulan Ramadhan, bob dan kawan-kawan bob akan awal-awal lagi sudah masuk kehutan mencari buluh untuk dijadikan meriam. Biasanya buluh aur atau buluh minyak dihunakan untuk tujuan ini. Kami akan memilihbatang buluh yang besar-besar saiznya.Lagi besar, lagi bagus. Buluh yang bagus ni selalunya berada ditengah perdu kira-kira sebesar tiang letrikdan kerja-kerja menebangnya perlulah berhati-hati, jangan sampai tercedera. Parang, kapak dan gergaji adalah merupakan alatan yang penting untuk misi ini.

Kami perlu mengambil bahagian pangkal buluh kira-kira empat ruas atau sepanjang 4 kaki sahaja dan selalunya masing-masing kami akan membawa pulang dua batang. Kemudian apabila tiba ditempat operasi, ianya akan dibersihkan cantik-cantik. Lubang siut api kira-kira bersaiz tidak sampai sebesar siling 5 sen akan ditebuk pada sebelah pangkal meriam itu dengan menggunakan pisau kecil atau corek. Jaraknya lubang itu perlu ditebuk ialah kira-kira satu tapak tangan dari ruas yang paling pangkal. Ruas yang didalam buluh akan ditebuk dengan menggunakan kayu atu besi paip, tapi ruas yang paling pangkal akan ditinggalkan untuk dijadikan buntut meriam itu. Sebangai langkah keselamatan, meriam itu akan disimpalkan dengan dawai atau rotan. Meriam ini akan disandarkan 20 darjah menghala kepihak musuh kepada 2 batang kayu yang dipacak secara X. Disisinya terdapat satu pelita minyak, 1 tin susu yang bertutup penuh ngan karbait dan satu baldi air. Karbait tu selalu nya mudah dibeli dikedai-kedai dikampung..sebab masa tu orang pergi menoreh pakai lampu karbait atau pun minyak tanah. Apabila semuanya sudah sedia kami pun menanti hari malam selepas berbuka puasa dengan penuh debaran

Bila tiba masanya lampu minyak tadi akan kami nyalakan terlebih dahulu. 3 ketul karbait sebesar ibu jari dimasukkan kedalam muncung meriam akan jatuh sampai kepangkalnya. Sedikit air dituang hingga bunyinya akan berdesir. Meriam disandarkan kembali dan lubang siut ditutup ngan kulit kerang. Tunggu kira-kira 2 minit barulah diangkat kulit kerang tadi dan api disiutkan kelubang siut dengan menggunakan ranting kayu yang bernyala...Booooooooommm!!!!! Pekak telinga sekejap dibuatnya.Kemudian terdengar pula balasan dari pihak "musuh". Kita kemudiannya akan membalas balik. Begitulah bersahut balas hingga kelarut malam..

Salah satu meriam bob adalah yang bersaiz kecil dan ringan. Ianya adalah dari rekabentuk yang mudah alih. Meriam ini akan dikandar keatas bahu seakan "bazuka". Kegunaan nya adalah untuk melakukan serang hendap dikawasan operasi musuh. Apabila tiba masanya kami akan perlahan-lahan dalam gelap pergi kekubu pihak "musuh" dan menyerang secara dekat dari celah-celah pokok. Cara ini akan membuatkan pihak "musuh" tergamam.

Kadang-kadang meriam ini juga gunakan untuk operasi dibawah rumah jiran-jiran yang "terpilih". Sudah tentu rumah orang baru kahwin dan tidak mempunayi anak kecil Keboooom!...bunyinya. Apabila ini berlaku, seronok juga terdengar latahan dan sumpahan mereka kerena terkejut Ianya menjadi gurauan dan bahan ketawa. Dihariraya nanti kami akan cepat-cepat memohon maaf. Seronok kan? Sampai kehari ini bob masih dan sering terkenang-kenang kepada aktiviti bulan puasa dulu-dulu yang sememangnya menjadi nostalgia bagi orang yang sewaktu dengan bob.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments