Entry: Lempeng Kelapa Sep 29, 2006



Pada hari kebangsaan yang lalu kami sekeluarga tidak kemana-mana tetapi hanya duduk lepak dirumah sambil menonton program tv. Isteri bob telah menyediakan masak asam pedas ikan tenggiri sebagai lauk makan tengahari. Fatin pula telah menyediakan kerabu pucuk silum istimewa untuk bob. Manakala siAyu telah ditugaskan membakar seekor ikan terubuk yang dicicah dengan kicap bersama bawang, cili dan diperahkan dengan limau nipis. Memang seronok sesekali makan tengahari bersama keluarga ketika cuti-cuti begini.

Pada sebelah petangnya pula, Fasya telah merengek pada bob merayu untuk membuatkan beliau lempeng kelapa. Apabila tersebut sahaja nama kueh ini, ianya terus mengintakan bob pada mak bob dan ibu-ibu saudara bob. Ini adalah kerena, mereka inilah yang sering menyediakan kueh ini pada ketika bob kecil-kecil dulu.

Menyediakan lempeng ini adalah satu perkara yang mudah. Oleh kerana lempeng yang bob sediakan ini bersaiz besar iaitu tiap-tiap keping selebar dua tapak tangan, bob telah menggunakan sebanyak 750 gm tepung gandum bagi sekali masak. Tepung ini telah dimasukkan kedalam sebuah besen. Adunan tepung ini dicampur dengan sebiji kelapa parut, sebiji telur dan tiga sudu kecil garam. Kemudiannya perlahan-lahan dibancuhkan dengan air sehingga sehingga kelikatan boleh diceduk dengan sudu. Seterusnya bob mencairkan sesenduk kecil majrin yang kemudiannya digaulkan sekali sehinggab rata bersama adunan tadi.

Sambil menantikan sedikit minyak cukup panas didalam kuali leper diatas dapur, bob meminta Fasya untuk pergi mengambil sehelai daun pisang dari pokok pisang yang sedang tumbuh subur dihalaman belakang rumah. Daun pisang itu dibersihkan terlebih dan kemudian dijadi alas pada setiap piring hidangan lempeng ini nanti.Apabila kuali telah panas bob pun menuangkan kira-kira dua senduk adunan tadi keatasnya. Kemudian dengan menggunakan senduk itu juga bob telah merata dan melebarkan sehingga ianya berbentuk lempeng yang bulat.

Dua minit kemudian bob membalikkan lempeng ini dengan menggunakan sudip. Fasya sangat tertarik apabila bob menekan-nekan dan menampar-nampar rata atas lempeng ini dengan sudip supaya ianya menjadi sedikit pipis dan masak agak rata. Kemudian setelah beberapa minit ianya diterbalikkan sekali lagi untuk mempastikan supaya masaknya samarata. Fasya ketawa besar apabila bob menceritakan yang lempeng ini bob panggil dengan pangilan "kueh debab". Ini adalah kerena apabila melihatkan cara memasaknya seperti ini dilakukan yang mengeluarkan bunyi "berdebab-debab". Bob menjelaskan yang opahnyalah telah memberi panggilan sedemikian semasa bob kecil-kecil dulu. Fasya pun tutut mencuba memasak lempeng nya sendiri. Sehingga selesai kami telah berjaya menyediakan tujuh atau lapan keping kesemuanya dari adunan tadi.

Apabila sahaja lempeng-lempeng ini diangkat dari kuali dan diletak keatas piring yang berlapikkan daun pisang, bau harum lempeng yang panas ini sudah cukup menaikkan selera. Apalagi, sambil jari terkial-kial menahan panas, lempeng ini dicubit-cubit dan dicicahkan pula dengan kuah asam pedas. Kemudian disuapkan perlahan-lahan kemulut kami masing-masing. Sambil melihat diluar air hujan yang sedang menitis laju dari hujan cucuran hujung atap, satu demi satu cubitan tadi tidak disedari masuk kemulut dengan penuh rasa sensasi yang amat menakjubkan. Apalagi lagi yang lebih nikmat dalam keadaan begini apabila "kopi o panas kaw" pula menjadi minuman yang dihidangkan.

Selain dari kuah asam pedas, lempeng kelapa ini boleh juga dicicah dan dimakan bersama gula. Tetapi pada hari itu bob juga makan kueh ini bersama sambal tumis bilis. Pernah juga bob makan kueh ini bersama kuah kari. Semuanya boleh sahaja dan sedap. Ikut sahaja selera dan apa yang ada. Mungkin kalau dicicahkan dengan kuah atau kole atau sesetengah orang memanggilnya sebagai bubur durian pun agaknya lagi sedap.

Semasa bob berada di Kijal tidak berapa lama dulu, sebuah gerai yang berhampiran dengan perhentian bob ekspres disitu ada menyediakan lempeng kelapa ini. Ia dimakan bersama kuah kari. Manakala ketika bob berada di bandar Chukai berhampiran dengan simpang masuk ke Intan pula terdapat sebuah gerai yang menjual masakan asam pedas dan lempeng jenis ini. Disini lempeng kelapa ini dimakan bersama pilihan kuah kari, gula ataupun masakan asam pedasnya. Memang sedap sehingga membuat isteri bob berulang kali untuk singgah disitu apabila mengunjungi Trengganu.

Sememangnya kueh tradisional ini sudah jarang disediakan orang dirumah terutama oleh mereka yang berada dibandar-bandar masakini. Kueh yang mudah disediakan tetapi lazat ini semakin dilupakan kerena citarasa anak-anak metropolitan yang telahpun ulit dengan piza, pasta, roti, kek dan burger. Tetapi jika kita berpeluang bersarapan di Restoran Asam Pedas yang terletak berhampiran jalan masuk ke Setiawangsa di Keramat, ianya merupakan menu utama yang ekszotik.

Pada bob, kueh lempeng kelapa ini sememangnya banyak membawa kenangan semasa bob kecil-kecil dulu. Beberapa ketika dahulu disatu masa setelah negara kita merdeka, dimana bekalan beras telah dicatu untuk menghadapi gerakan pengganas kominis dan negara juga sedang dalam keputusan bekalan, kami terpaksa mencari alternatif makanan lain bagi menggantikan nasi. Tepung gandum yang telah dimasak berbagai cara dijadikan sebagai makanan ruji. Lempeng kelapa adalah cara yang mudah dan murah disediakan pada masa itu selain dari cepat mengenyangkan kami. Sampai kehari ini ianya masih merupakan kueh kegemaran bob sekeluarga.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments